MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Perak

Fokus lahir lebih ramai huffaz

Kejayaan Muhammad Hanzalah Ahmad Shukry, 19, mewakili Malaysia ke Pertandingan Hafazan Antarabangsa Kali ke-13 di Algeria membuktikan pelajar tahfiz juga mempunyai masa depan yang cerah.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kejayaan itu turut membuktikan program pendidikan sekolah tahfiz yang disusun kerajaan negeri berjaya membuahkan hasil.

“Kena tolak tanggapan mereka (pelajar tahfiz) tidak akan ke mana-mana hanya dengan pandai menghafaz, mereka berpotensi untuk berjaya.

“Dalam usia pada 19 tahun sudah mewakili negara dan beliau anak jati Perak, kerajaan negeri berharap akan lebih ramai lagi yang akan menjadi seperti beliau,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Hanzalah yang akan bertanding di Algeria Khamis ini.

Sementara itu, Muhammad Hanzalah ketika ditemui berkata, beliau meletakkan sasaran merangkul kejuaraan pada pertandingan tersebut.

“Setakat ini Malaysia belum pernah jadi johan dalam pertandingan ini dan kedudukan terbaik hanyalah di tempat kelima.

“Jadi jika diizinkan ALLAH SWT, saya cuba sedaya upaya jadi johan untuk harumkan nama Malaysia dan Perak khususnya. Jika menang, ia hadiah kepada kedua ibu bapa saya,” katanya.

Anak keenam daripada 12 beradik itu mula menghafal Al-Quran sejak berusia 15 tahun dan merupakan pelajar Sekolah Tahfiz Lake View Taiping malah pencapaian terbaik beliau memenangi Pertandingan Hafazan Al-Quran Negeri Perak 2016.

“Setiap hari saya akan luangkan masa menghafal sekurang-kurangnya lima juzuk untuk memastikan bacaan yang lancar serta betul.

“Insya-ALLAH saya akan lakukan yang terbaik walaupun kali pertama mewakili negara dan bertanding dengan lebih 40 peserta dari seluruh dunia, ia tanggungjawab besar namun saya bersedia,” kata beliau lagi.

 

Sumber:Sinar harian