MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Perak

Van berisi rokok kena samun

Sebuah syarikat pengedaran rokok kerugian RM28,000 selepas sebuah van berisi stok rokok pelbagai jenama dilarikan sekumpulan suspek dalam satu kejadian samun bersenjata di Jalan Besar di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, van berkenaan dinaiki seorang kakitangan syarikat terbabit bersama seorang lagi pembantu jurujual dari sebuah syarikat pengedaran rokok di Taiping.

Kakitangan syarikat terbabit yang hanya mahu dikenali Rosli, 57, berkata, ketika kejadian, dia juga nyaris diculik, namun berjaya melarikan diri.

Menurutnya, sebelum kejadian dia bersama pembantu jurujual itu meletakkan van berkenaan di Jalan Besar di sini, sebelum menuju ke beberapa kedai berhampiran di seberang jambatan untuk mengambil tempahan.

“Selepas itu, saya kembali ke van untuk mengambil stok rokok, manakala rakan sekerja singgah di sebuah kedai telefon.

“Semasa saya hendak masuk ke dalam van, tiba-tiba datang tiga lelaki berjalan menghala ke pintu van sebelah pemandu, manakala dua daripadanya datang ke arah saya sambil menghunus parang,” katanya.

Rosli berkata, dua suspek yang menghunuskan parang itu kemudiannya mengarahkannya masuk ke dalam van.

"Namun ketika itu, saya melepaskan diri ketika diarah masuk ke dalam van dan segera melarikan diri ke kedai berhampiran.

“Kesemua mereka yang terkejut segera melarikan van syarikat ke arah tidak diketahui.

“Van syarikat yang dilarikan itu turut diekori sebuah lagi kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam yang dipercayai dinaiki mereka,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Kurau pada hari kejadian.

"Selepas sejam membuat laporan, polis berjaya menemui van itu yang ditinggalkan di Taman Kurau Sejati, di sini.

“Saya difahamkan kesemua stok rokok dan wang tunai disimpan di dalam van itu hilang.

“Kejadian itu menyebabkan saya trauma dan berharap langkah keselamatan lebih efektif dapat dipasang di setiap van syarikat memandangkan kejadian samun melibatkan van syarikat semakin kerap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian samun itu dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Menurutnya, polis mengambil serius perkara ini dan percaya kesemua suspek terbabit masih berada di daerah Kerian.

“Berikutan itu, polis melaksanakan pemantauan ketat di sepanjang kawasan persempadanan antara daerah-daerah berhampiran di samping turut mendapatkan kerjasama dengan IPD berhampiran.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkawan tanpa bersenjata api yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

 

sumber:Sinar harian