MALAYSIA  
 
Enter your keywords:
State Perak

Kerajaan Perak beri insentif kepada Khairul Idham

Kerajaan negeri memberikan insentif RM100,000 kepada pelumba Honda Racing Asia, Khairul Idham Pawi yang menjuarai Kejohanan MotoGP Dunia bagi kategori Moto3 di Grand Prix Motosikal Argentina, 3 April lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pemberian insentif berkenaan bertujuan mengiktiraf kejayaan pelumba kelahiran Kampung Gajah itu dalam mengharumkan nama negeri dan negara dipersada antarabangsa.

"Sebelum menyertai perlumbaan, beliau ada membuat permohonan melalui Adun Kampung gajah, Abdullah Fauzi dan perkara itu telah disampaikan sendiri kepada saya oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

"Kita telah meluluskan sebanyak RM60,000, namun kebetulan ketika itu beliau sudah pun bertolak ke Argentina dan wang yang diluluskan itu telah masuk ke Pusat Khidmat Kampung Gajah. Dengan kejayaan beliau ini kita tambah lagi sebanyak RM40,000 sebagai pengiktirafan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan (SUK), di sini, hari ini.

Menurut beliau, isu pemberian wang pembiayaan itu tidak seharusnya disalah erti sepertimana kenyataan segelintir pihak yang mendakwa kerajaan negeri hanya membantu Khairul Idham selepas beliau berjaya.

"Tidak sewajarnya dakwaan seumpama itu dikeluarkan dan saya harap pihak di luar sana sana membuat penilaian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya.   

Dalam pada itu, Zambry berkata, beliau telah meminta exco kerajaan negeri dan Adun untuk mengenalpasti kawasan atau daerah yang sesuai dijadikan litar sukan permotoran bagi melahirkan lebih ramai pelumba muda berpotensi.

"Komen yang diterima di Facebook saya mengenai kejayaan Khairul Idham begitu baik sekali, ramai anak-anak muda yang inginkan litar sendiri di kawasan masing-masing. Walau bagaimanapun, idea ini kita akan perincikan.

"Saya telah meminta kepada exco yang bertanggungjawab dan exco yang lain, untuk lihat kemungkinan ada atau tidak daerah lain yang boleh kita wujudkan litar seperti ini," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mewujudkan Litar Formula 2 (F2) di kawasan Simpang Pulai bagi memupuk para belia mencintai sukan permotoran selain mengelakkan mereka terlibat dengan perlumbaan haram.

Sumber:Sinar Harian